Menjahit Tidak Susah.

Bermula tahun 2002, saya telah membuka kelas jahitan di rumah. Alhamdulillah, dalam masa 5 tahun ini, seramai 15 orang wanita yang terdiri daripada jiran tetangga dan kenalan telah berjaya mengikutinya. Satu percubaan yang baik bagi saya yang baru mula bertatih dalam bidang ini.

Daripada langsung tidak minat menjahit kerana merasakan menjahit itu amat susah, leceh, itu dan ini, kini ada di antara mereka telah mampu menjahit baju keluarga dan diri sendiri. Malah lebih membanggakan saya, ada di antara mereka sudah berjaya mendapat “pulangan” hasil pelaburannya belajar dengan saya.

Sekadar contoh, antaranya Ummu Habibah (kini di Langkawi) telah menerima tempahan menjahit, termasuk tempahan baju Melayu, Puan Fadilah (Bukit Beruntung) telah menjahit langsir rumah pengatin, begitu juga dengan Puan Rohaya juga telah menerima tempahan daripada jiran-jirannya.

Manakala Puan Hasnah (Gombak) pula telah mengorak langkah lebih jauh dengan mengadakan kelas jahitan untuk jiran-jiran dan kenalannya.

Apa yang penting dan yang selalu saya ingatkan mereka, ialah LATIHAN YANG BERTERUSAN. Hanya dengan latihan sahaja, kemahiran dapat dipertingkatkan. Kemahiran inilah yang akan memantapkan lagi ilmu sedia ada.

Untuk latihan menjahit, belilah kain yang murah2 atau kain mahal yang dijual murah2 yang saya namakan “kain kotak” kerana ia dilambak dalam kotak (iaitu kain-kain ela lebihan akhir daripada gulungan besar, yang diikat-ikat dan ditanda jumlah panjangnya dalam meter, diletakkan dalam tong di tepi tangga atau kaunter, untuk tujuan jualan murah).

Ada antara kain ini dari jenis berkualiti dan asalnya dijual dengan harga mahal. Biasanya kain ini dijual separuh harga atau lebih murah lagi daripada harga asal. Kalau nak kepastian, cuba tanya jurujualnya… pasti anda akan terkejut mendengar harga asalnya semeter!

Untuk belajar, jangan malu untuk beli kain yang terdapat dalam kotak-kotak ini. Kalau nasib kita baik, kita akan mendapat ‘kain kotak’ yang cukup saiz untuk sepasang baju kurung kita.

Kalau saiznya tak cukup panjang (tak cukup 4 meter), carilah regu-regu kain yang sesuai – sama ada baju warna cerah, kain warna gelap sikit dan sebagainya. Asalkan bila dicantum cukup untuk sepasang baju kurung. Pandai-pandailah pilih. Hmm, kain yang berkualiti dan mahal dibeli dengan harga yang murah! Inilah agaknya yang dikata orang-orang tua zaman moden, “Menang membeli, menang memakai!”

Apabila ‘kain kotak’ ini dah siap jadi sepasang baju kurung yang cantik, kawan-kawan pasti akan terpegun melihatnya, terutama pada kualiti kainnya… dan kalau mereka tanya, “Mesti mahal kain ni, berapa semeter?” Janganlah jawab dengan kata-kata… cukuplah senyum sebagai jawapannya!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Leave a Reply