Bengkel Baju Kurung ke-19: Jahitan sembat yang kemas.

Alhamdulillah, bengkel baju kurung kali ke-19, dan juga merupakan kali pertama pada tahun 2012, telah berjaya dilaksanakan.

Sebelum itu, saya ingin memberi sedikit panduan tentang cara-cara menjahit sembat dengan baik.  Biasanya ada dua bahagian yang biasa kita lakukan jahit sembat, iaitu di bahagian hujung lengan dan di bahagian bawah baju (labuh).

Sebelum menjahit sembat, sebaiknya bahagian tersebut dijahit tepi. Bagi mereka yang tiada mesin jahit tepi sendiri, mereka boleh mendapat khidmat jahit tepi di kedai-kedai jahit yang ada berhampiran anda dengan upah tertentu.

Lipat dan gosok bahagian kelepet, diikuti dengan menyematkan jarum peniti di bahagian tersebut. Ia bertujuan menetapkan kedudukan kain, agar proses menjahit sembat mudah dilakukan.

Bagi mereka yang baru belajar menjahit atau sudah agak mahir menjahit tapi menjahit baju dari jenis kain yang lembut seperti silk, crepe, siffon dan sebagainya, digalakkan  mengamalkan kaedah berikut:
i. Selepas jahit tepi, kelepet bahagian labuh lengan atau labuh baju lebih kurang 1.5″ – 2″.
ii. Gosok pada bahagian kelepet.
iii. Semat kelepet dengan jarum peniti.
iv. Jahit jelujur (boleh menggunakan apa-apa warna benang kerana ia adalah jahitan sementara sahaja). Selepas jahit jelujur, jarum peniti boleh ditanggalkan.
v. Akhir sekali jahit sembat. Setelah siap jahit sembat, benang jahit jelujur boleh ditanggalkan.

Walau bagaimanapun, kebanyakan mereka yang agak mampu atau mahir menjahit, lebih suka menyemat jarum peniti sahaja kerana ia lebih cepat.

Bagi mendapatkan hasil jahitan sembat yang halus, kemas, dan cantik, saya sarankan supaya menggunakan jarum yang paling halus. Jika kita menggunakan jarum yang besar atau kasar, maka hasilnya juga besar dan kasar.

Berikut suasana bengkel jahitan yang telah diadakan di Masjid Al Ghufran yang lalu.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
This entry was posted in Bengkel Baju Kurung, Panduan Menjahit. Bookmark the permalink.

Leave a Reply