Pertanyaan sebelum beli mesin jahit


Setiap kali sebelum memulakan kelas dengan peserta baru, saya akan bertanyakan peserta sama ada mereka ada memiliki mesin jahit atau belum. Walaupun, ia bukan syarat untuk belajar dengan saya, tapi ia satu kelebihan dan amat mustahak jika peserta ada mesin jahit sendiri. Ini kerana ia dapat memudahkan peserta mempraktikkan semula pelajaran yang diajar.

Tanpa mesin jahit di rumah, peserta tidak dapat mempraktikkan semula ilmu jahitan yang telah dipelajari. Lama kelamaan, peserta akan lupa dan akhirnya hilang semangat untuk meneruskan jahitan.

Ada beberapa jenis mesin jahit yang boleh digunakan untuk belajar menjahit. Antaranya mesin jahit mudah alih (portable), mesin jahit industri (high speed), mesin jahit tepi.

Sebelum membeli mesin-mesin jahit tersebut, elok dibuat beberapa pertanyaan kepada diri sendiri.

Antaranya:
• Apa yang saya nak jahit?
Mengapa saya ingin membeli mesin jahit ini?
• Berapa harga mesin jahit yang sesuai?
• Apa kelebihan mesin jahit ini?
• Adakah saya akan dibekalkan maklumat / tunjukajar oleh jurujual?

Bagi mereka yang baru ingin berjinak-jinak dalam dunia jahitan, saya lebih syorkan anda membeli mesin jahit mudah alih (elektrik) kerana ia lebih mudah dikawal. Senang dibawa ke mana-mana.

Lagipun mesin jahit jenis ini ada banyak fungsi tambahan selain jahit lurus. Antaranya untuk jahit sulam (pelbagai paten), jahit zigzag, membuat lubang butang, dan sebagainya.

Mesin jahit mudah alih ini juga sesuai bagi mereka yang ingin belajar menjahit langsir. Walau bagaimanapun ada antara mesin jenis ini kurang lasak atau sesuai untuk menjahit kain tebal atau kain langsir  umpamanya. Ia boleh bergegar apabila kita menjahitnya.

Apabila sudah agak mahir, boleh mencuba mesin jahit industri (high speed) pula.  Ia sesuai digunakan oleh mereka yang sudah mahir dan cekap menjahit.

Keistimewaan mesin jahit industri ini ia dapat menjahit pakaian yang tebal atau langsir dan sebagainya, dengan cepat serta dapat digunakan utnuk jangka masa jahitan yang panjang. Senang cerita ia untuk kegunaan lasak. Harganya agak mahal, lebih RM1500.

Manakala mesin jahit tepi pula berguna untuk menjahit tepi kain. Ada antara kedai jahit menyediakan perkhidmatan menjahit tepi kain dengan upah yang berpatutan. Bagi mereka yang berada jauh dari kedai jahit, elok memiliki sendiri mesin jahit tepi.

Walau pun saya ada menyediakan pakej menjual mesin jahit, tapi saya tidak menghalang jika ada peserta saya ingin membeli sendiri mesin jahit mengikut citarasa masing-masing.

Cuma jika ingin beli sendiri, saya ingin berpesan supaya beli di kedai yang menjual mesin yang berdekatan dengan kediaman anda bagi memudahkan anda mengunjunginya jika ada masalah tentang penggunaan dan sebagainya. Selain daripada itu, pastikan jurujual memberi tunjukajar cara-cara bagaimana untuk menggunakan mesin jahit dengan betul.

Ada antara peserta saya yang membeli mesin mudah alih semata-mata atas nasihat jurujual. Sudahlah harganya mahal (menyamai harga mesin industri), ada antara mereka pula tidak diberi tunjuk ajar dengan betul oleh jurujual termasuk bagaimana cara nak pasang jarum. Melainkan dipesan supaya rujuk katalog.

Sebab itu, amat penting anda mendapat maklumat dan tunjukajar secukupnya tentang penggunaan mesin jahit daripada jurujual. Perlu diingat, mesin jahit yang mahal tidak semestinya menjanjikan kita dapat menjahit dengan baik.

Ada mesin jahit yang berjenama dan mahal harganya, tapi bila menjahit jenis kain tebal, ia akan bergegar. Ada mesin jahit yang tidak berjenama dan murah pula harganya tapi dapat memberikan hasil jahitan yang baik dan memuaskan, termasuk menjahit langsir.

Sebagai panduan ringkas mengenai harga mesin jahit yang sesuai adalah seperti berikut:
• Mesin jahit mudahalih: antara RM650 – RM900
• Mesin jahit industri: RM1500 – RM2000
• Mesin jahit tepi: RM1100 – RM1500

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
This entry was posted in Panduan Memilih Mesin, Soalan Lazim. Bookmark the permalink.

Leave a Reply