Catatan Peserta: Projek Terbaru!

Alhamdulillah, kita sudah menghampiri masuk ke bulan penuh barakah dan keampunan. Bulan Ramadan al mubarak. Mudah-mudahan amal kita mulai hari ini bertambah baik dan bertambah lagi baik dari hari ke hari, insya-Allah.

Kali ini suka saya paparkan satu entri yang sangat menarik, catatan salah seorang peserta bengkel, Puan Firdaus dalam blog beliau Pearl YaQuut, untuk tatapan semua. Moga ada manfaatnya.

Tajuk: Projek Terbaru.

Alhamdulillah. Allah masih panjangkan nafas saya dan rumah maya saya hingga ke saat ini. Syukur ya Allah.

Sementara masih punya kesempatan waktu, sebaik-baiknya saya terus kepada huraian tajuk entri saya. Ya, projek terbaru saya pada masa ini. Ia pernah dimulakan hampir 5-6 tahun yang lalu, kemudian terus terhenti kerana tidak dapat dipastikan apakah sebabnya. Waktu itu belajar sendiri, belajar daripada mama secara tidak formal. Namun, ia hanya separuh jalan. Lalu bahagian bawah sahaja yang dapat disiapkan, manakala bahagian atas tidak bersambung. Atas faktor sayang masih ada, kini bahagian atas dihantar kepada yang pakar bagi menyelesaikannya. Hehe…. cuba teka, apakah yang saya maksudkan?

Sebenarnya saya tidak menyangka yang saya mendaftarkan diri dan mengikuti kelas kemahiran ini. Saya pernah ternampak poster iklan bengkel ini di Masjid Kota Damansara. Tidak lama kemudian, saya diketemukan pula dengan salah seorang pelajar kelas ini di Masjid al-Ghufran semasa program Seminar Love Being a Mother, anjuran saya dan kawan-kawan seangkatan, ibu-ibu muda (Komuniti Lovely Life). Kebetulan pula di rumah, saya sempat melayan drama korea ‘A Cinderella Man’ yang juga berkaitan bidang ini. Maka, semua ini antara petanda-petanda yang mengukuhkan niat saya menghadiri bengkel ini.

Justeru, saya pulang ke Ipoh dengan niat yang satu. Ini dia….!

Kredit: olx.com.my (Ini bukan gambar sebenar tetapi jenama yang sama)

Saya pinjam daripada mama. Terima kasih mama kerana beri keizinan untuk Along guna mesin jahit ini. Along cuba menyambung jasanya kepada kita anak-beranak perempuan. :)

Juga beli kain cotton ini. RM3 semeter.

Pada 12 dan 13 Mei 2012 yang lalu, secara rasminya saya mengikuti Bengkel Jahitan Baju Kurung. Mungkin bagi sesetengah wanita dan perempuan, dunia jahitan sudah dipelajari sejak usia remaja. (Teringat projek subjek Kemahiran Hidup tingkatan tiga, kotak kayu dibaluti kain beropol).

Namun, rasanya masih belum begitu terlewat bagi saya mempelajarinya pada usia menjangkau 30-an ini, sementelah punya seorang anak dara kenit + 6 orang adik perempuan kandung + 3 orang adik ipar + mama + mama mentua + saya = 13 orang perempuan sekitar saya. Ia tidak sedikit dan mungkin semakin bertambah. Justeru, pada hemat saya, menuntut ilmu kemahiran ini boleh jadi hukum wajib ke atas kami. Setuju?

Hari pertama

Kelas yang dijadualkan bermula 8.30 pagi dimulakan dengan sesi sarapan berjemaah dahulu, kemudian sesi berkenalan dengan semua peserta. Ada 7 orang sahaja pelajar yang diterima bagi setiap bengkel. Yang mengagumkan saya, 5 orang daripada kami adalah gadis bujang. Paling jauh datang dari Changlun, Kedah. Paling muda berumur 21 tahun! Mereka malah sungguh hebat pada mata saya!

Sebelum itu, kami diingatkan supaya membawa sedikit peralatan yang diperlukan iaitu:
- Kain cotton 4 meter
- Zip 8 inci
- Benang sama tanah kain
- Benang bunga kain

Itu sahaja. Mesin jahit dan peralatan lain disediakan. Mudah, bukan?

  • Langkah pertama bagi menjahit apa sahaja pakaian adalah mengambil ukuran badan. Cikgu Yati mengambil ukuran setiap daripada kami, manakala kami mencatat nilainya di dalam nota yang disediakan. Kemudian kami perlu membuat sedikit kira-kira dengan kalkulator sebab ada darab, bahagi, tolak, tambah, malah titik perpuluhan juga. Wah!
  • Langkah kedua adalah membuat pola pada kertas minyak. Fikir saya, ia mudah sahaja. Tetapi tidak mudah juga pada peringkat awal. Tiba-tiba jadi blur sekejap, tidak tahu di mana patut bermula. Dengan bantuan pembantu cikgu, Kak Teh merangkap anak cikgu, kebluran saya dapat ditangani dengan begitu mudah. Saya kagum pada beliau yang masih dalam tingkatan 6! Cikgu cakap, ramai orang tahu potong kain, tetapi tidak ramai pandai buat pola.
Pola ini untuk orang yang baru belajar sahaja. Tukang jahit tidak memerlukannya lagi.
  • Langkah ketiga adalah memotong kain mengikut ukuran pada pola yang sudah dibuat. Pada hari pertama, kami hanya diajar memotong badan, pesak, kekek dan tangan.
  • Seterusnya mencantumkan setiap bahagian yang terpisah menjadi satu. Kali ini saya tidak lagi gerun menggunakan mesin jahit sepertimana kali pertama belajar dahulu. Takut jarum terkena jari, takut terpijak pedal terlalu laju, takut kain tertarik dek jarum. Ketakutan yang ter….(Itu pada zaman dahulu) :)
  • Bahagian yang agak renyah adalah membuat leher. Perlu lukis dahulu pola, buat sedikit kira-kira, potong pola, lekatkan pelekat pada kain dan cantumkan pada badan. Boleh bayangkannya? Cikgu pesan, pola leher kita perlu simpan baik-baik supaya ia boleh digunakan semula apabila menjahit baju kurung sendiri seterusnya. Orang yang sama saiz kita juga boleh guna nanti.
  • Proses ini pula adalah selepas leher dan badan dicantumkan. Perlu seterika supaya lebih kemas dan tajam untuk dijahit mata lalat nanti.
  • Akhir sekali, pada jam 6 petang, inilah hasilnya!

Alhamdulillah, seperti tidak percaya saya dapat siapkan. Tinggal belum jahit cangkuk butang, mata lalat pada leher dan jahit sembat pada hujung baju dan bawah badan. Ilmu ini bersambung pada hari kedua.

Hari kedua

Kelas bersambung dengan penuh keceriaan walaupun kebanyakan kami merasai sedikit sakit belakang. Itu baru sehari menekuni kain dan mesin jahit, bagaimana dengan rutin tukang jahit ya? Ada sebarang tips?

Proses hari kedua fokus pada kain baju kurung. Ia meliputi kerja mengukur bahagian pinggang, labuh kain, keliling punggung, memotong kain mengikut ukuran, memasukkan zip, membuat susunan lipatan kain, membuat dart, seterusnya membuat cantuman getah dan pelekat dan menyambungkan pinggang pada kain.

Wah, banyak juga langkah menghasilkan sehelai kain susun, kan? Bila kita pakai kain, biasanya kita tidak sedar pun proses pembuatannya juga renyah. Patutlah agak tinggi juga upah menjahit, sementelah di bandar. Rupa-rupanya ada elemen PIES yang turut menguasai diri tukang jahit. PIES, ia bukan sejenis makanan, ya. Perlu buka topik baru bagi berbicara tentang potensi PIES dalam diri setiap manusia. Ia kajian yang menarik. Ada yang mahu tahu? Sila angkat tangan.

Senyum kepuasan dengan kejayaan masing-masing

Dua hari berbengkel, boleh dikatakan kami diajar asas menjahit baju kurung dari A – Z. Dari tiada asas hingga ditunjukkan menjahit mata lalat pada leher. Sungguh teruja dengan ilmu baru! Alhamdulillah.

Pesan cikgu, “Balik nanti terus buat baju kurung kedua! Jangan tunggu seminggu, hujung bulan, takut terlupa.”

Saya sangat rekemenkan kepada yang baru mahu belajar. Teknik yang mudah dan praktikal. Cikgu dan pembantu cikgu yang sangat baik dan sabar. :)

Maklumat lanjut di http://www.bengkeljahitan.com

- Saranan saya kepada semua pengunjung website ini, rajin-rajinlah juga berkunjung ke Pearl YaQuut itu. Banyak manfaat yang dapat dikutip di sana, insya-Allah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
This entry was posted in Dari Blog Peserta, Jahit Baju Kurung, Pengalaman Peserta. Bookmark the permalink.

Leave a Reply